Tentang tinta

Selamat Datang ke Dunia Eksplorasi & Realisasi Idea

Sekolah Tinta merupakan sebuah sekolah model STEM di Malaysia yang telah ditubuhkan pada tahun 2017 dan beroperasi di Temasya Niaga Glenmarie, Shah Alam, Selangor. Sebagai sebuah sekolah swasta di Selangor, penubuhan Sekolah Tinta adalah bagi menyahut Kempen Kerjasama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025 yang telah meletakkan pendidikan STEM sebagai satu agenda penting dalam transformasi pendidikan negara.

Bagi merealisasikan kempen yang bersifat holistik ini, pihak Sekolah Tinta akan memastikan agar tiga (3) gelombang pendidikan dalam PPPM ini dilaksanakan:

  • Gelombang 1 (2013-2015)
    Pengukuhan kualiti pendidikan STEM dimulakan melalui peneguhan kurikulum, pengujian dan latihan guru, dan penggunaan model pembelajaran pelbagai mod.
  • Gelombang 2 (2016-2020)
    Kempen dan kerjasama dengan badan-badan berkaitan dilaksanakan untuk menarik minat dan kesedaran masyarakat dalam STEM.
  • Gelombang 3 (2021-2025)
    STEM akan dianjak ke arah kecemerlangan melalui peningkatan keluasan operasi.

Terletak di lokasi strategik berhampiran kawasan perumahan, pejabat-pejabat korporat, kemudahan kesihatan dan kecemasan, pengangkutan awam dan akses mudah ke lebuh raya utama seperti Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Guthrie dan KESAS telah menjadikan Sekolah Tinta pilihan ibu bapa di sekitar Lembah Klang.

Sekolah Tinta adalah pelengkap kepada sekolah-sekolah yang ditubuhkan di bawah kelolaan GAINS Education Group Sdn Bhd yang menyediakan kurikulum kebangsaan melalui pendekatan berbeza agar para pelajar kelahiran Sekolah Tinta dapat meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan membentuk jati diri dengan lebih sempurna.

Bertapak di bangunan enam (6) tingkat yang berkonsepkan industri dan dilengkapi dengan fasad moden, Sekolah Tinta dapat memenuhi keperluan pembelajaran para pelajar serta memberikan keselesaan dengan ruangan yang luas, bersih dan kondusif. 

Setelah beroperasi lebih daripada lima (5) tahun, komuniti Sekolah Tinta telah berkembang dan mempunyai lebih daripada 400 orang pelajar. Kerjasama serta sokongan daripada ibu bapa, guru-guru dan kakitangan sokongan menjadikan komuniti Sekolah Tinta lebih utuh demi masa depan para pelajar. Terima kasih keluarga Sekolah Tinta!