Alhamdulillah, satu lagi acara buat anak-anak Sekolah Tinta menimba ilmu pengetahuan selain apa yang terkandung di dalam silibus mata pelajaran harian mereka telah berlangsung pada 28 Jun sehingga 9 Julai 2021 yang lalu. Pandemik telah sekali lagi memberi cabaran buat arena pendidikan seluruh Malaysia, namun Sekolah Tinta sentiasa komited dalam mengambil inisiatif menjadikan sesi PDPR kami sentiasa menarik, penuh pengisian ilmu, interaktif dan relevan dengan keperluan semasa.
Melalui program Cyber Week 2.0 di bawah kelolaan unit STED (S.T.E.M Education), pelajar Sekolah Tinta telah didedahkan dengan pelbagai pengetahuan mengenai keselamatan siber sewaktu sesi pembelajaran Sains Komputer melalui pendedahan penting mengenai keselamatan siber, risiko penggunaan teknologi baharu, cara mengenalpasti ‘scammer’ dan pelbagai lagi. Ilmu keselamatan siber ini turut didedahkan kepada ibu bapa Sekolah Tinta melalui sesi perkongsian “Cyber Talk: Parental Guide on Online Safety For Children” yang disampaikan oleh En. Norli Shariffuddin, Pengurus Pematuhan IT dari Uda Holdings Sdn Bhd.
Selain itu, antara program yang dinanti-nantikan sudah tentunya sesi “ Cyber Chat Bersama Ustaz Muhamad” Program yang dilaksanakan pada setiap Selasa dan Khamis ini telah membuka peluang kepada keluarga Tinta untuk saling berkomunikasi di laman ‘chatting’ yang disediakan di samping kupasan pelbagai topik semasa seperti korban, covid-19, pengisian masa lapang, kesihatan mental dan sebagainya. Slot “Adik Tanya, Ustaz Jawab” pula menjadi platform untuk ustaz menjawab pelbagai persoalan agama yang bermain di fikiran kita. Sudah pastinya, kami teruja dengan berpeluang berbicara bersama para tetamu yang ‘hadir’ dalam sesi “Tetamu Ustaz” yang datang dari pelbagai latar belakang seperti guru-guru dan pelajar Sekolah Tinta sendiri, wakil dari Islamic Relief Malaysia dan juga Leave A Nest Malaysia.
Tidak dilupa, program “Cyber Cafe: Edu Game” yang memberi pengisian menghiburkan buat pelajar Sekolah Tinta beradu kemahiran dan pengetahuan dalam sesi permainan interaktif yang telah dibina oleh guru-guru Sekolah Tinta sendiri. Melalui aplikasi permainan seperti MathPlayground, Keyboard Ninja dan Robot Island, pengetahuan pelajar dalam Sains, Matematik, dan STEM telah diuji bagi menyelesaikan pelbagai misi dan melepasi halangan yang disediakan. Suatu program yang mencabar minda dan penuh keseronokkan buat para peserta. Tahniah diucapkan kepada para peserta acara.
Akhir kata, pihak Sekolah Tinta ingin mengucapkan syabas kepada guru-guru dari unit STED yang telah memberikan 110% komitmen mereka dalam melaksanakan program Cyber Week 2.0 kali ini. Terima kasih juga kepada seluruh Keluarga Tinta, para pelajar, ibu-bapa, guru-guru, staf pentadbiran dan organisasi luar yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program ini. Tahniah dan terima kasih atas penglibatan anda semua. InsyaAllah, hasrat kami agar program ini menjadi salah satu wadah ilmu yang bermanfaat dan dapat dipraktikkan dalam kehidupan kita. InsyaAllah…
Dunia siber kini tidak asing lagi buat anak-anak kita. Bekalkan mereka dengan ilmu pengetahuan yang cukup, pantau mereka selalu, kekalkan interaksi dan komunikasi sosial mereka. Semoga Allah pelihara anak-anak Sekolah Tinta dari keburukan dan pengaruh negatif dunia siber.
.
EKSPLORASI & REALISASI IDEA TETAP DITERUSKAN
.
Pejuang Pendidikan Era Pandemik