Sekolah Tinta amat menitikberatkan pencapaian akademik dan juga pembentukan keperibadian murid. Dalam membentuk murid menjadi pemimpin, kemampuan bekerja dengan berkesan dan memimpin orang lain amatlah penting. Terutamanya dalam dunia yang saling berkait. Keupayaan bekerja secara berkesan dalam satu pasukan bagi setiap murid mencapai potensi masing-masing amat diperlukan dalam dunia pekerjaan.
Dalam konteks pendidikan, kepimpinan mempunyai empat unsur iaitu keusahawanan, berdaya tahan, kecerdasan emosi dan ketrampilan komunikasi. Pertama, keusahawanan ialah mengambil inisiatif untuk mewujudkan dan membangunkan penyelesaian sendiri, dan bagi tujuan itu sanggup membuat pelaburan daripada sumber sendiri, serta terdorong untuk memastikan penyelesaian itu dizahirkan.
Kedua, berdaya tahan dalam membina cara berfikir yang konstruktif serta mampu menghadapi rintangan. Ketiga, kecerdasan emosi, seorang murid itu berupaya memahami dan bekerja secara berkesan dengan orang lain serta mampu mempengaruhi mereka secara positif. Yang terakhirnya, ketrampilan komunikasi yang berupaya memberikan pendapat dan hasrat secara lisan dan bertulis dengan jelas.
Unsur – unsur yang di nyatakan di atas jelas terlihat dalam aktiviti yang diusahakan Sekolah Tinta. Program yang berasaskan projek, kerja berkumpulan dan aktiviti luar bilik darjah seperti Amazing ME Race, Scavenger Hunt dan Maths Freak. Program ini secara langsung atau tidak langsung mampu membantu membangunkan keperibadian murid. Ini yang diharapkan bagi setiap warga kerja Sekolah Tinta, dengan harapan murid menjadi manusia yang berguna kelak