Tanggal 25 Mei 2022, Sekolah Tinta dengan berbesar hati telah menerima kunjungan daripada beberapa pensyarah dan tenaga kerja dari Jabatan Ilmu Pendidikan, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Dato’ Razali Ismail, Terengganu. Lawatan Eksplorasi Pelaksanaan Pembudayaan S.T.E.M di Sekolah Tinta ini telah memberi ruang buat kami berkongsi mengenai modul pembelajaran dan kaedah pelaksanaan STEM di Sekolah Tinta serta melihat sendiri suasana pembelajaran interaktif dan hasil kerja pelajar kami.
“Saya sangat kagum melihat keupayaan Sekolah Tinta mendidik anak-anak dari peringkat awal sekolah rendah tentang pembelajaran STEM terutamanya ‘coding’. Sekolah Tinta wajar dijadikan contoh ke arah pembudayaan pelaksanaan STEM di sekolah-sekolah di Malaysia.”
– Dr. Rashidah binti Elias, Timbalan Ketua Jabatan Ilmu Pendidikan, IPG Dato’ Razali Ismail
“Saya melihat pelaksanaan proses pendidikan yang sangat baik dan berkesan di Sekolah Tinta. Guru-guru di Sekolah Tinta juga mempunyai autonomi untuk merencanakan sendiri pembelajaran dengan kreatif dan menerapkan daya fikir yang sangat baik. Saya mengimpikan Sekolah Tinta mampu untuk menjadi penanda aras bagi sekolah-sekolah lain. Tahniah buat Tinta kerana berjaya mengangkat keempat-empat elemen, jasmani, emosi, rohani dan intelek dalam pelaksanaan pendidikan di sekolah ini.”
– Dr. Mat Ali bin Abd Ghani, Ketua Jabatan Ilmu Pendidikan, IPG Dato’ Razali Ismail
Pihak Sekolah Tinta ingin merakamkan ucapan terima kasih di atas kesudian pihak Jabatan Ilmu Pendidikan, IPG Dato’ Razali Ismail untuk hadir ke sekolah kami dan membuka ruang diskusi buat kami menambah baik mutu pendidikan di Sekolah Tinta.