WARKAH HARI MERDEKA KE-64

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh

 

Wahai sahabatku,

 

Kemerdekaan ini adalah satu anugerah istimewa oleh Allah buat kita semua. Kepayahan dan kesusahan orang dahulu mendapatkannya adalah jerih perih yang sukar untuk kita bayangkan malah untuk dicari ganti. Mereka pernah hidup dalam ketakutan, putus sumber makanan, kehilangan ahli keluarga seorang demi seorang dek kerana berusaha mempertahankan maruah bangsa dan kedaulatan negara.

 

Usaha puluhan tahun ini bukanlah drama yang direka tetapi ia adalah realiti dan sejarah buat kita dan generasi hari ini untuk melihat kemerdekaan ini dengan penuh kesyukuran. Pastinya di sebalik lipatan sejarah ini, ada pahlawan yang didendang namanya dan ramai lagi yang kekal rahsia pengorbanannya dan kesungguhannya di tangan Sang Pencipta. Kita semua yakin, kejayaan ini bukanlah diraih dengan hasil titik peluh seorang pahlawan tetapi ia adalah keringat bersama oleh mereka yang melihat usaha mencapai kemerdekaan ini sebagai perjuangan penting buat anak bangsa tercinta. Hasilnya, 64 tahun telah kita rasai usaha kemerdekaan dan kebebasan berkat pengorbanan insan yang terpilih ini. Ya Allah terimalah usaha dan pengorbanan mereka semua.

 

Sahabatku,

 

Dunia hari ini diuji dengan musuh baru yang tanpa sedar sudah meragut ribuan nyawa manusia. Musibah ini menjadikan kita semua kembali takut serta bimbang. Ada yang terputus sumber makanan dan ramai pula yang dihurung kesedihan dan kepayahan kerana tiada kebebasan untuk mengurus kehidupan harian. Lihat di sekeliling kita, ia bukan fantasi, ia adalah realiti yang bakal menjadi sejarah penting buat generasi akan datang.

 

Hakikatnya, kita semua diajar melalui musibah ini bahawa tiada resepi segera untuk menghadapinya. Tiada juga jalan pintas untuk menyelesaikannya. Solusi yang tuntas adalah datang dari kebersamaan dan usaha setiap daripada kita untuk mencari jalan penyelesaian atau sekurang-kurangnya bertahan dan saling menguatkan sebelum datangnya sinar dihujung perjuangan.

 

Sudah pasti laluan ini agak sukar tetapi kita harus yakin yang kita mampu untuk menghadapinya. Kita mampu untuk menyelesaikan misi sehingga ke akhirnya. Sepertimana orang dahulu berjuang untuk meraih kemerdekaan buat anak bangsa tercinta begitulah juga kita perlu terus bersemangat hari ini untuk berusaha mengembalikan suasana sihat dan damai yang pernah diraih selama ini agar terus dinikmati oleh diri kita dan generasi kita semua.

 

Sahabatku,

 

Setiap kedamaian ada perjuangan,

Setiap perjuangan ada pahlawan,

Setiap pahlawan ada gerakan,

Setiap gerakan ada usaha,

Dan setiap usaha…pastikan ada KITA.

 

Semoga Allah beri kita kekuatan untuk hadapi ujian kali ini dan semoga ia menjadi asbab untuk Allah kumpulkan kita semua di dalam syurga. Ujian ini untuk semua, KITA USAHA KITA BERJAYA!

 

Selamat Manyambut Kemerdekaan ke-64 buat seluruh rakyat Malaysia.

 

Saudaramu,

Ustaz Muhamad