tinta pengetua
Selamat datang ke dunia “Eksplorasi Idea”!
Tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan untuk mengemudi Sekolah Tinta, sebuah sekolah STEM di Malaysia adalah satu penghormatan buat saya dan pastinya akan digalas dengan penuh dedikasi. Mempunyai keunikan tersendiri dalam setiap sesi pengajaran dan pembelajaran yang tidak hanya terhad kepada pembelajaran di dalam kelas, Sekolah Tinta merupakan sekolah swasta pilihan terbaik ibu bapa di sekitar Selangor dan Lembah Klang yang mahukan pendidikan bersifat holistik untuk anak-anak mereka.
Berinspirasikan penerapan elemen STEM dalam setiap mata pelajaran, para pelajar Sekolah Tinta tidak hanya didedahkan dengan konsep pembelajaran secara teori sahaja, malah turut didukung oleh pengaplikasian secara praktikal agar pengisian pembelajaran menjadi lebih mudah difahami dan menarik. Inilah konsep Sekolah Tinta, meneraju pendidikan STEM demi masa hadapan para pelajar.

Setiap institusi pendidikan pasti mementingkan kecemerlangan akademik, begitu juga di Sekolah Tinta. Seiring dengan kecemerlangan akademik, kami juga menitikberatkan nilai-nilai murni yang diterapkan dalam diri setiap pelajar melalui pelbagai aktiviti luar kelas. Semua aktiviti yang dirangka akan menyokong kemahiran insaniah yang merangkumi aspek-aspek kemahiran generik berkaitan kepimpinan, kerjasama berpasukan, komunikasi dan pembelajaran berterusan.
Di samping itu, komuniti di Sekolah Tinta juga memainkan peranan yang penting dalam setiap aspek perkembangan para pelajar. Guru-guru dan kakitangan sokongan turut menjadi contoh positif dalam membina jati diri dan keperibadian para pelajar di Sekolah Tinta.
Ia adalah selaras dengan aspirasi murid yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia yang menginginkan pelajar yang berpengetahuan, mempunyai kemahiran berfikir, berkeupayaan dalam memimpin, menguasai dwibahasa, mempunyai etika dan sifat kerohanian yang tinggi bagi membentuk individu bersifat penyayang dan mempunyai identiti nasional yang kukuh, berpegang kepada prinsip Rukun Negara.
Saya yakin dan percaya bahawa persekitaran pembelajaran yang kondusif dan selesa dapat meningkatkan semangat para pelajar dan seterusnya fokus dalam setiap mata pelajaran yang dipelajari. Selain itu, kami di Sekolah Tinta sentiasa mahukan para pelajar meneroka idea-idea bernas mereka dan merealisasikannya melalui aktiviti-aktiviti yang disediakan oleh pihak sekolah agar dapat mencipta sesuatu yang bermanfaat di masa hadapan.
Oleh yang demikian, besarlah harapan saya agar komuniti Sekolah Tinta iaitu para pelajar, guru-guru, kakitangan sokongan dan juga ibu bapa sentiasa komited, menyokong antara satu sama lain dan bekerjasama dalam memastikan kecemerlangan sekolah. Sekiranya para pelajar, guru-guru, mahupun ibu bapa ingin berbincang atau melontarkan sebarang idea khususnya demi kebaikan pelajar, saya sentiasa bersedia untuk membantu dan turut serta bersama anda semua.
Dr. Haliza Idris
Pengetua Sekolah Tinta