Kurikulum
Berinspirasikan dengan semangat “Eksplorasi Idea”, Sekolah Tinta menyediakan pengalaman baru dalam dunia persekolahan anak-anak, namun kami masih mengekalkan penggunaan silibus pembelajaran Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) sama seperti silibus pembelajaran di sekolah kerajaan untuk Tahun Satu hingga ke Tahun Enam. Oleh itu, ibu bapa tidak perlu khuatir kerana sekolah Tinta masih berada di bawah kurikulum yang sama dan mengikuti standard peperiksaan seperti yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Perbezaan yang memberikan Sekolah Tinta kelainan daripada yang lain adalah daripada sudut pendekatan yang menggabungkan banyak elemen praktikal dan pembelajaran yang aktif di dalam atau di luar kelas.
Bukan itu sahaja, keistimewaan Sekolah Tinta berbanding Taman Ilmu yang lain ialah daripada usahanya untuk memperkasakan pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) secara menyeluruh bermula daripada Tahun Satu hingga ke Tahun Enam. Sekolah Tinta merupakan satu-satunya sekolah pendidikan rendah yang telah mengintegrasikan kurikulum KSSR dengan pendidikan STEM kepada anak-anak secara holistik. Apakah perbezaan sistem pelaksanaan pendidikan berkonsepkan STEM ini dengan yang lainnya? Boleh klik pada pautan ini STEM
Ko-kurikulum
Selaras dengan aspirasi pendidikan yang digagaskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, Sekolah Tinta memberikan pakej pendidikan yang seimbang kepada para pelajarnya. Tumpuan yang diberikan tidaklah sekadar tertumpu kepada sesi pembelajaran dalam bilik darjah semata-mata tetapi turut memberikan fokus dalam penguasaan bidang Ko-Kurikulum yang merupakan sebahagian daripada aspek pembelajaran di sekolah. Pembelajaran Ko-Kurikulum diwujudkan bagi melengkapi keperluan dan persediaan diri para pelajar bukan sahaja dari aspek perkembangan fizikal dan mental malah dalam meningkatkan sahsiah, nilai kepimpinan, potensi dan kredibiliti yang ada dalam diri mereka. Kami di Sekolah Tinta sentiasa menggalakkan anak-anak melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti Ko-Kurikulum termasuklah bersukan, pasukan unit beruniform dan kelab. Pelbagai cabang pilihan aktiviti dapat dipilih mengikut minat dan kecenderungan serta kemahuan diri anak-anak. Antara cabang bidang Ko-Kurikulum yang kami tawarkan ialah;
STEM
Apa yang dimaksudkan pembelajaran berkonsepkan STEM?
Konsep pelaksanaan pendidikan STEM di Sekolah Tinta ini mengintegrasikan pengetahuan, kemahiran dan aplikasi dalam mata pelajaran utama seperti Sains dan Matematik secara mendalam. Silibus dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah dijadikan rujukan utama untuk menghasilkan projek yang sesuai dan seimbang dengan kemampuan para pelajar mengikut tahap yang ditetapkan. Perlaksanaan projek STEM di Sekolah Tinta dijadikan sebahagian daripada kelas wajib untuk semua pelajar. Mereka akan menyiapkan setiap tugasan yang dilakukan secara individu atau berkumpulan mengikut modul yang telah ditetapkan. Walau bagaimanapun, aspek kreativiti dan keterbukaan dalam mencetus idea bagi rekaan tersendiri diberikan ruang yang cukup untuk pelajar melakukannya. Hal ini dapat dilihat daripada hasil kerja yang pelbagai dengan pilihan corak, warna dan bentuk rekaan yang tersendiri oleh mereka. Pendekatan ini bukan sahaja menarik minat pelajar untuk menyelesaikan tugasan mereka malah ia turut melatih mereka untuk berfikir, merancang dan berimaginasi terhadap idea-idea baru yang boleh difikirkan berdasarkan asas ilmu yang disampaikan melalui kelas-kelas yang dihadiri.
Selain daripada itu, penekanan aspek nilai-nilai murni secara langsung atau tidak langsung dapat dilihat melalui pendekatan dan aplikasi dalam projek yang dijalankan. Bermula daripada mengenal pasti masalah, mencari jalan penyelesaian, merancang kerja dan mempamerkan hasil projek; kesemuanya memerlukan kerjasama di antara para pelajar dan guru untuk melalui semua proses ini dengan jayanya sehingga akhir. Nilai-nilai murni seperti tolong menolong, berkomunikasi dengan baik sesama rakan, berkongsi idea dan lain-lain dapat dipupuk secara langsung atau tidak langsung di dalam aktiviti yang dijalankan.
Terdapat tiga elemen utama dalam pelaksanaan projek STEM yang telah diperkenalkan di Sekolah Tinta, antaranya;
-
Pendekatan Inkuiri (Inqury-based learning)
-
Pembelajaran Berasaskan Projek (Project-based learning)
-
Pembelajaran Berasaskan Masalah dalam Konteks Dunia Sebenar (Real-life base)
Sekolah Tinta juga menawarkan aktiviti tambahan kepada para pelajar untuk mengisi masa mereka selepas sesi persekolahan. Hal ini dapat membantu ibu bapa yang bekerja untuk menempatkan anak mereka di tempat yang selamat dengan kawalan yang rapi oleh guru-guru dan kakitangan yang bertugas di sekolah. Pelbagai aktiviti yang ditawarkan termasuk yang disediakan oleh pihak sekolah atau syarikat perkhidmatan daripada luar antaranya seperti di tab sebelah.
- Living skills
- Tekwando
- Sukan Moden
- Kelas Mandarin
- Literasi
- Kelas Memanah
- STEM
- LEGO Junior STEM
- Sukan Tradisional
Apa itu SPA?
SPA adalah singkatan kepada Student and Parent’s Activity atau juga dikenali sebagai Aktiviti bersama Ibu Bapa dan Pelajar. Ia adalah merupakan salah satu program yang dianjurkan dengan menjemput ibu bapa untuk turut serta melibatkan diri dalam melaksanakan aktiviti pembelajaran bersama anak-anak mereka di sekolah. Tujuan program ini diadakan adalah untuk memberi peluang dan ruang untuk ibu bapa menyumbang sesuatu idea dan ilmu kepada semua para pelajar dan juga membolehkan mereka saling kenal mengenali di antara satu dengan yang lain.
Antara tema aktiviti yang pernah dijalankan ialah;
- Kebersihan
- Keselamatan
- Sesi bercerita
- Hari Usahawan Tinta
- Program Motivasi
Antara program tahunan Sekolah Tinta untuk para pelajar adalah lawatan sambil belajar ke beberapa tempat menarik sebagai memberi peluang kepada mereka menjalankan aktiviti-aktiviti pembelajaran di luar sekolah. Melalui program lawatan seperti ini, para pelajar bukan sahaja mendapat peluang berjalan-jalan dan melakukan aktiviti bersama guru-guru kesayangan mereka malah mereka juga dapat menimba ilmu baru dan menambah pengalaman dengan . Sesuai dengan peribahasa “jauh perjalanan luas pemandangan”, anak-anak berpeluang menimba telaga ilmu melalui penglihatan dan perjalanan mereka yang luas serta dapat dijadikan ilmu yang dikendong itu sebagai kalam permulaan untuk anak-anak mengecapi kejayaan di dunia dan di akhirat.
Terdapat pelbagai tempat yang telah kami lawati bersama anak-anak dan pelbagai aktiviti yang dianjurkan semasa lawatan ini dijalankan. Antaranya;
- Lawatan ke Petrosains di KLCC
- Lawatan ke Malaysia Air Force
- Lawatan ke Putrajaya