Latar Belakang

MULANYA DI SINI

Tanggal 31, bulan 8,  2017.
INSPIRASI MERDEKA, EKSPLORASI IDEA.

Inspirasi bermula pada 31hb Ogos 2017, apabila kami memutuskan untuk memulakan eksplorasi mustahil dan langkah yang mustahil untuk membuka SEKOLAH TINTA. Kesuntukan masa yang hanya berbaki beberapa bulan sebelum tahun baru bermula, melambakkan perkara yang belum jelas di kepala. Keadaan bangunan sekolah yang masih kosong, dana yang belum pasti ada dan fikiran yang runsing untuk mencari jawapan bagaimana untuk bermula.

Tetapi laungan Merdeka menjadi pembakar semangat kami. Sesuatu yang tidak pasti dengan mata, tetapi kami pasti dengan hati. Berbekalkan doa, kami merdekakan diri dengan niat mahu memandaikan anak bangsa. Kami mahu memerdekakan diri dengan tekad tidak mahu menoleh, tidak mahu tahu apa itu tidak boleh. Sesungguhnya Merdeka itu apabila kita percaya kita mampu berjaya dan kita kumpulkan mereka yang mampu berdiri dengan kepercayaan yang sama, kita pasti mampu mencapainya.

Pandangan zahir mata pada lantai yang kosong, dinding yang berdebu, tiada lampu dan penghawa dingin barangkali tiada apa yang mampu meyakinkan sesiapa yang melihat. Akan tetapi, anggapan itu adalah tidak benar sama sekali. Yakin dan percaya itu malah hadir daripada harapan ibu bapa yang datang berkeringat sambil mengendong anak, dengan nada ucapan penuh kesyukuran berkata: “Terima kasih kerana membuka sekolah di sini” dan tidak kurang juga yang memberi harapan dan memasang impian dengan berkata: “Sekolah ini akan menjadi sekolah contoh di Malaysia”.
Di manakah mereka melihat semua itu? Bukan daripada lantai yang kosong tetapi daripada kemerdekan jiwa seorang ayah dan ibu yang sentiasa yakin untuk melihat kebaikan anak-anak mereka di masa hadapan. Dengan kepercayaan yang penuh, diserahkan anak kesayangan mereka ke tangan kami yang masih terketar-ketar. Setulus kasih sayang kami genggam erat tangan mereka dan kami berjanji akan berusaha memimpin mereka menerokai perjalanan hidup yang penuh dengan eksplorasi di Sekolah Tinta.

Penerokaan awal kami terhadap dunia pendidikan STEM (Science, Technology, Engineering and Mathematics) disambut baik oleh para penggerak My Digital Maker di MDEC (Malaysia Digital Economic Corporation) dan En Kamaruddin Kassim (Pengarah Program PETROSAINS). Mereka banyak membantu kami untuk merancang dan melaksanakan tindakan yang tepat untuk mencapai hasrat yang diinginkan. Sememangnya kami tidak akan lupa akan gigihnya guru ulung pendidikan STEM di Malaysia, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Aminah Ayob yang turut berulang dari Universiti Pendidikan Sultan Idris ke Sekolah Tinta bagi membantu kami bereksplorasi selembar demi selembar demi meniti di atas landasan yang betul. Berkat doa dan sokongan daripada semua, Eksplorasi Tinta pun bermula.

Eksplorasi Idea,
SEKOLAH TINTA

Visi

Pendidikan Kreatif,
Insan berwibawa
Nadi Penggerak Kemajuan Negara

Misi

Tempat

Menyediakan fasiliti dan prasarana sekolah yang sesuai dan seiring dengan keperluan pembelajaran semasa

Inovasi

Mewujudkan ruang pembelajaran dan pengajaran yang menggalakkan kreativiti dan inovasi

Nilai

Membentuk sahsiah pelajar dengan nilai-nilai murni untuk melahirkan insan yang bertanggungjawab dan bersedia untuk berbakti

Tanya

Menggalakkan suasana pembelajaran dan pengajaran yang interaktif , kritis dan kreatif

Aktif

Menggalakkan pelajar untuk sentiasa positif dan aktif di dalam melaksanakan pelbagai projek dan aktiviti di sekolah

Rasional Logo

Logo SEKOLAH TINTA adalah diinspirasikan daripada “Lakaran dan Coretan Anak-Anak”.
Adalah fitrah anak-anak suka melakar dan mencoret di mana sahaja sebagai cara mereka untuk mengekspresi imaginasi dan idea mereka. Eksplorasi idea inilah yang sebenarnya penting untuk digarap dan dikembangkan dalam proses pembentukan fizikal dan mental yang seimbang dalam diri anak-anak